Tuesday, 10 May 2011

Kembara Kedah : Ziarah Keluarga Allahyarhamah Ratna Sufizzahriyanti Binti Omar

Pada 7 Mei lalu, seramai 6 orang MPP UKM yang terdiri daripada MPP Muslimah, Noraini, Noriah, Harith, Ikram dan saya sendiri telah menziarahi keluarga arwah Ratna Sufizzahriyanti di Mukim Tobiar, Pendang, Kedah. Ziarah ini juga disertai oleh rakan MPP seperti saudara Waliyuddin, Hilmi Ramli, dan Taufiq.

Perjalanan pada jam 10.30 malam dari kampus memakan masa selama 6 jam. Usai solat subuh di Masjid Pekan Pendang dan menjamu selera di rumah rakan MPP, saudara Hilmi Ramli, delegasi kami tiba di tanah perkuburan tempat arwah dikebumikan kira-kira pada jam 11.00 pagi.

Lafaz tahlil berakhir, keluarga arwah yang terdiri daripada abang, adik dan ibunya membawa kami ke rumah mereka tidak jauh dari kawasan perkuburan. Ibu tunggal tersebut sangat tabah dan sudi berkongsi cerita bersama MPP yang hadir. Menurut beliau, arwah Yanti (Ratna) sangat ceria, terpelihara akhlaknya, sepertimana yang diceritakan oleh rakan-rakan kelas dan rakan persatuan seperti saudari MPP Noriah dan Waliyuddin.

Daripada sesi perkongsian dari pihak keluarga arwah dapat disimpulkan bahawa media massa telah menimbulkan persepsi negatif terhadap arwah Ratna demi melariskan berita khususnya tentang perhubungan arwah dengan lelaki tersebut dan cara kematian.

“Saya sangat kesal dengan media massa kini yang menghebahkan berita yang tidak benar sehingga  menimbulkan pelbagai persepsi terhadap arwah akibat penulisan yang ditokok tambah. Kita serahkan kepada pihak polis untuk selesaikan kes pembunuhan ini," ujar Muslimah.

Di akhir pertemuan, pihak MPP memberikan sedikit sumbangan buat keluarga arwah. Kata-kata perangsang dari MPP Muslimah dan MPP Harith sedikit sebanyak dapat memberikan motivasi kepada keluarga arwah.

PMUKM mengharapkan rakan-rakan mahasiswa terus berdoa supaya arwah ditempatkan bersama orang-orang soleh.

p/s : rasa sangat bersyukur walaupun merancang pada saat akhir, walaupun dengan kenderaan sendiri, kami tekad juga untuk kembara ke Kedah.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grants For Single Moms