Friday 28 October 2011

GAMIS Anjur Karnival Ilmu Anak Muda (KAMU'11)

Berlalu sudah program terbesar anjuran NGO mahasiswa islam iaitu Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS). Program 2 hari ini merangkumi pelbagai aktiviti yang bertujuan untuk melahirkan anak muda yang berdaya saing dari segi keilmuan. Selaku Timbalan Pengerusi Penerangan GAMIS, saya bergerak secara langsung dalam KAMU'11.

Cukup mengujakan apabila dalam Sidang Dewan Mahasiswa yang melibatkan Majlis Perwakilan Mahasiswa dari IPTA/IPTS seluruh Malaysia. 30 orang MPM dihimpunkan dalam sidang tersebut bagi membahas usul masing-masing. Speaker dewan adalah Saudara Ridzuan, mantan MPM Universiti Malaya mengemudi sidang dewan.

Usul yang dibangkitkan adalah mengenai isu negara dan mahasiswa sebagai contoh pemansuhan AUKU, Bajet 2012, PTPTN, PRU 13, Perpaduan Nasional, 'Good Governance' dan sebagainya. Perbahasan usul berakhir dengan resolusi dari setiap kampus mempamerkan perkongsian pendapat di kalangan anak muda dalam segenap aspek dan kepentingan umum sekaligus membuktikan mahasiswa mampu berfikiran kritikal mencorak masa depan negara.

Serentak dengan Sidang Dewan Mahasiswa, Sidang Gerakan Mahasiswa Islam turut diadakan di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) juga. Sidang ini juga menghimpunkan pendokong gerakan mahasiswa islam dari pelbagai kampus. Berkesinambungan dengan Sidang Gerakan Mahasiswa Islam ini, Simposium Dakwah Kampus (SIMDAK) diadakan pada keesokan harinya melibatkan pembentangan kertas kerja dakwah di kampus dan persoalan akidah.

KAMU turut meraikan pelbagai lapisan masyarakat antaranya kaum wanita dengan Bengkel Personaliti Anggun menampilkan Saudari Muna Izzah dan Heliza Helmi mencuit hati dan mempamer pemakaian tudung mengikut syariat melalui demo yg diadakan.
Tamatnya bengkel anggun, KAMU membawakan kepada masyarakat Forum Syurga Cinta menampilkan Ust Zaharuddin Abdul Rahman, Prof Dr Muhaya, dan Imam Muda Ashraf (Moderator). Sangat mendapat sambutan ramai! Soalan-soalan dari para penonton kebanyakannya meminta panduan dari panel untuk kahwin muda. Heliza Helmi tidak ketinggalan untuk mengikuti forum ini juga.

KAMU tidak mengenepikan golongan anak muda yang lazimnya minat bidang kesukanan. KAMU menghidangkan pertandingan 'Street Soccer' yang mendapat penglibatan dari 20 team dari pelbagai kawasan Negeri Selangor.

Kecaknaan anak muda terhadap isu-isu di Palestin juga diterapkan melalui slot bersama Ust Syed Norhisham (Mursyid Imam Muda) dan pelancaran tabung Palestin. Pada malam penutup, perasmian penutupan oleh Dr Halimah Ali, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor lalu diteruskan dengan Konsert Gegar Anak Muda yang dibintangi kumpulan Nowseeheart, Al-Farabi dan Amy Search.

PENUTUP

KARNIVAL ILMU ANAK MUDA 2011 (KAMU'11) ini menjadi bukti anak muda cintakan keintelektualan dalam menggarap masa depan Islam & Negara. Di samping HIMPUN merupakan sebahagian agenda KAMU'11, GAMIS menyokong HIMPUN kerana ia sebagai gambaran keprihatinan masyarakat terhadap isu akidah walaupun ia bukanlah sebagai penyelesai masalah akidah umat Islam Malaysia dengan hanya berhimpun selama 2 jam itu. Ini kerana anak muda lah bakal menjadi pemimpin yang dapat menggubal undang-undang enakmen akidah bagi membendung gejala murtad. 

Anak muda amat berperanan dalam menjana rakyat ke arah masyarakat yang dinamik, berintegriti dan bersatu padu. Anak muda merupakan pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan. Anak muda hari ini juga merupakan gambaran negara pada masa hadapan.

Aida Rahayu Binti Mohd Badri
Timbalan Pengerusi Penerangan
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)

Wednesday 31 August 2011

Bebas Daripada Telunjuk Syaitan

Pertama dan selamanya, marilah kita panjatkan rasa syukur kepada Allah S.W.T yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat kembali kepada fitrah setelah melalui fasa tarbiyyah di bulan Ramadhan. Juga selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Penyelamat Ummah, Rasulullah SAW, ahli keluarga beliau, para sahabat dan tabien sekalian.

Sesungguhnya kita telah melalui fasa tarbiyyah tahunan di bulan Ramadhan yang disebut-sebut sebagai penghulu segala bulan. Selama tiga puluh hari hidup kita menyaksikan pertarungan sengit antara diri yang ingin menuntut fitrah menurut nafsu yang tidak sedikit. Justeru apabila tiba 1 Syawal, Allah Maha Suci telah mewajibkan umat Islam meraikan kemenangan perjuangan ini dengan pengharaman berpuasa dan diwajibkan kita merayakan 1 Syawal ini.

Maka diharapkan dengan kedatangan Syawal serta berlalunya Ramadhan bersama-sama proses tarbiah mampu menjadi bekalan bagi menghadapi bulan-bulan seterusnya. Gunakanlah segala hasil tarbiah Ramadhan untuk menyemarakkan lagi semangat beribadah dan bermujahadah. Pastikan kita sentiasa berterusan mengunjungi masjid dan surau untuk menunaikan solat berjamaah, mengikuti kelas-kelas pengajian, tadarus al-Quran dan amalan-amalan kebajikan sehingga dapat membentuk diri dan umat Islam yang mantap iman dan bertaqwa kepada Allah SWT. Insya’Allah, akan diperolehi pertolongan yang dijanjikan oleh Allah kepada umat Islam.

TRANSFORMASI DIRI DI BULAN RAMADHAN

Sesungguhnya perkara yang paling digemari Rasulullah adalah bersederhana (wasatiyyah). Maka bersesuaian dengan Ramadhan yang bakal ditinggalkan, alangkah mulianya jika setiap kita lebih mengutamakan keperluan(need) daripada kehendak(desire) dalam merancang sesuatu hal. Kita wajar berusaha supaya amal selepas Ramadhan ini tidak sesekali bercampur aduk dengan perkara-perkara berbentuk maksiat serta pembaziran kerana ia amat bertentangan dengan ajaran Islam.

Menyahut tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu “1Malaysia : Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera”, marilah kita sama-sama mentransformasikan diri daripada diri yang dulu kepada yang lebih baik dengan impak ibadah dalam bulan Ramadhan yang telah kita jalani sebelum ini. Signifikan hari kemerdekaan yang jatuh pada bulan Syawal ini bukan hanya semata-mata perlu dirasai dengan merdekanya negara kita daripada kawalan kuasa asing; penindasan dan penjajahan ataupun merdeka daripada mengikut telunjuk orang lain.

Tetapi ayuh kita raikan juga sambutan hari kemerdekaan dalam bulan Syawal pada tahun ini dengan memerdekakan diri kita daripada hawa nafsu yang membelenggu selama ini. Moga kita mampu lepas dan bebas daripada telunjuk dan perhambaan kepada syaitan pasca Ramadhan kali ini. Semoga dengan itu, kita mampu hidup dalam Redha Ilahi dan sejahtera bersama Rahmat – Nya sentiasa.

TANGGUNGJAWAB PERJUANGAN MAHASISWA

Apabila disebut tanggungjawab perjuangan, ia merupakan topik serius yang memerlukan perhatian yang serius kita bersama. Imam Hasan al-Banna menyebutkan di dalam karangan-karangan beliau, "sesungguhnya hidup ini sifatnya berkorban bukan hanya menadah tangan dan berserah nasib." Itulah sifat pejuang dan penda’wah yang menjulang panji ketuanan agama. Mereka mempunyai daya tahan dan jati diri yang tinggi, bersedia untuk berdikari dan memberi.

Maka di kesempatan ini pihak PMUKM sekali lagi mengulangi gesaan di peringkat rakyat marhaen yang inginkan UKM secara khusus mencari titik keseimbangan antara teori dengan amal, sains dengan sastera dan kesejahteraan rohani dengan kemajuan material sebagaimana yang ditekankan di dalam Falsafah Universiti yang tercipta bersama-sama penubuhan UKM 41 tahun dahulu.

Juga perlu sentiasa diingatkan bahawa tanggungjawab universiti bukanlah semata-mata untuk memenuhi tuntutan keperluan tenaga mahir di pasaran sahaja, tetapi lebih penting dan besar daripada itu, ialah sebagai badan yang dapat membina pemikiran yang kritikal dan berwawasan.

Dalam kata lain UKM secara khusus dan IPTA-IPTA lain perlu memimpin dan menawarkan gagasan, jalan dan cara bagaimana perubahan harus ditangani. Universiti seharusnya, pada ketika tertentu dan dalam isu-isu tertentu, perlu membantu masyarakat dan negara untuk membuat pilihan di antara pilihan yang ada berasaskan penyelidikan yang rapi dan meyakinkan.

Isu-isu asas yang masih menghambat kepada kemajuan dan pembangunan komuniti serta sosio-ekonomi negara seperti pembinaan negara bangsa, pembangunan teknologi & sains untuk komuniti, mengukuh warisan dan ketamadunan bangsa, dan mengukuhkan daya saing negara di samping matlamat asas Universiti untuk membangunkan sumber modal insan yang berilmu merupakan isu pokok yang masih memerlukan siri-siri penyelidikan yang mendalam.

PERANAN MAHASISWA

Di peringkat mahasiswa, PMUKM berhasrat untuk menggembleng tenaga mahasiswa dalam usaha menjayakan agenda-agenda Universiti yang sangat banyak dicadangkan khususnya di bawah Pelan Transformasi UKM. Apapun penggemblengan tenaga mahasiswa ini tidak lari dari tiga (3) tonggak utama yang disebut di dalam Ucapan Dasar Presiden dahulu iaitu (i) mahasiswa untuk mahasiswa, (ii) mahasiswa untuk masyarakat dan (iii) mahasiswa untuk negara; dalam menjana kepimpinan berkaliber hari ini dan membina pengganti kepimpinan pada akan datang.

Justeru dengan tema "Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti" kepimpinan Persatuan Mahasiswa UKM sesi kali ini selaku badan induk yang menaungi lebih seratus persatuan mahasiswa lain di UKM, akan berjaya meraih sokongan dan dokongan rakan-rakan mahasiswa dan rakyat Malaysia secara amnya dari jauh.
Dan semoga Aidilfitri kali ini benar-benar disambut sebagai kita yang pulang kepada asalnya yang fitrah (al-’aaideen) dan berjaya (al-faaizeen).

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1432 H & Selamat Hari Kebangsaan Malaysia Ke-54

Aida Rahayu Mohd Badri
Pengerusi Biro Informasi & Penerangan
Persatuan Mahasiswa UKM Sesi 2010-2011

Artikel ini disiarkan di Harakahdaily

Sunday 28 August 2011

Iklan Raya PMUKM

Pastinya ramai yang sudah menonton iklan raya PMUKM bukan? Bagi yang belum, anda boleh tonton di sini:


Rakaman dibuat pada hari Khamis lalu di sekitar UKM, Hentian Kajang dan rumah pelakon utama iaitu MPP Harith Abdul Kadir di Negeri Sembilan. Kalau sebelum ini video saya banyak sekadar 'music video',  ini kali pertama saya membuat video yang mempunyai suara dubbing. Maka, ia agak sedikit 'disaster'. InsyaAllah akan cuba baiki untuk video akan datang. 

Saya menyimpan hasrat untuk lebih banyak menghasilkan video pada masa akan datang demi pembangunan ummah. Serius! Cukup terinspirasi dengan 'Oneheart Creative Solution', syarikat yang diterajui oleh sahabat-sahabat seperjuangan graduan UIAM yang banyak menghasilkan video-video dakwah!

BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI


Kad Raya untuk Mahasiswa

Berhempas pulas MPP & Setiausaha kerja MPP menyiapkan kad raya PMUKM untuk diposkan kepada mahasiswa UKM. Tidak dapat membayangkan andai tanpa bantuan semua, ribuan kad ini pasti tak dapat diposkan. Alhamdulillah, kini, sudah ramai yang melaporkan kad raya sudah diterima. Lebihan yang tidak dapat akan diedarkan pada semester akan datang. InsyaALLAH.



BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI

Thursday 11 August 2011

Promo Pesta Konvokesyen : Jangan Menyerah

Alhamdulillah video ini siap juga akhirnya dengan menambah variasi jenis 'shot'. Ini mungkin video terbaik pernah dibuat. Terima kasih buat sahabat-sahabat yang memberi kerjasama yang baik.




APRESIASI MELESTARI KECEMERLANGAN
BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI


Thursday 14 July 2011

Fasa Akhir Majalah

 

Menyingkap tabir sidang redaksi, pengakhiran perkampungan sidang redaksi pada awal Julai meninggalkan kerja-kerja grafik sebagai fasa akhir penerbitan majalah. Secara keseluruhan, 70% sudah siap, 30% itu adalah kerja-kerja grafik. Hati berasa sangat terharu dengan beberapa ahli sidang redaksi yang masih bersengkang mata menghadap komputer riba menyiapkan kerja-kerja.

Nantikan majalah ini pada semester akan datang!
KISAH UKM, KISAH KITA!!!

Tuesday 5 July 2011

Menghias Board PMUKM

Meluangkan sedikit masa untuk menghias board di luar pejabat PMUKM di Pusanika pada hari Ahad (3 Julai 2011) lalu. Sempat menyiapkan sedikit saja iaitu bahagian DASAR PMUKM. Akan ditambah lagi sedikit demi sedikit sehingga siap!

BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grants For Single Moms