Thursday 24 March 2011

Pemantauan Kafeteria: Soal Selidik untuk Mahasiswa UKM

Soal selidik berkaitan pemantauan kafeteria bertujuan mendapat maklumat mengenai tahap perkhidmatan kafeteria kolej, fakulti kepada mahasiswa seluruhnya. Pihak PMUKM sentiasa peka dalam memastikan mutu perkhidmatan yang diberikan oleh kafeteria di kampus Bangi, Kuala Lumpur dan Cheras memuaskan pelanggan.

Kajian ini akhirnya akan didokumentasikan bagi menyediakan bukti konkrit untuk penambahbaikan bagi setiap kafeteria. Ramai yang mengadukan permasalahan kafeteria masing-masing. Soal selidik ini akan menjadi rekod aduan yang lebih menyeluruh untuk dibentangkan kepada pihak Bendahari UKM.

BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI

Langkah Awal Pengerusi Biro Informasi & Penerangan

Apabila diumumkan jawatan saya dalam kabinet PMUKM sesi 2010/2011, saya tersenyum kerna itulah bidang saya kecimpung sejak di tahun 1. Justeru, langkah pertama bermula dengan perjumpaan dengan Saudara Syafiq selaku ketua editor majalah Aspirasi UKM, majalah rasmi UKM saban tahun. Penerangan dan sedikit perbincangan dengan beliau 18 Mac lalu nyata mengkagumkan saya atas usaha dan kebolehan beliau dalam bidang grafik, penerbitan yang kebetulannya, saya sangat minat!

Pada ketika dihimpit kesibukan menyiapkan tesis, alhamdulillah pada Isnin 21 Mac, telah diadakan sesi fotografi bagi semua MPP UKM di studio kelab fotografi Kolej Aminuddin Baki. Sesi fotografi ditangguhkan kepada hari Rabu 23 Mac bagi mereka yang tidak dapat hadir pada hari Isnin.

Berkenalan dengan ahli sidang redaksi lain iaitu Fahmi dan Omar menyebabkan saya lebih bersemangat apabila didampingi mereka yang cukup memberi komitmen. Ditambah pula dengan 2 orang pembantu saya dalam Biro Informasi & Penerangan (BIP) iaitu Saudara Kamarul Hatem dan adik Siti Nur  Hidayah. Moga kita dapat menjalinkan hubungan kerja yang baik bagi merancakkan BIP!


Monday 21 March 2011

UKM Juarai Kampus Terbaik Karnival Kesenian Islam UO


Majlis Perasmian Penutupan Karnival Kesenian Islam telah saya hadiri bersama MPM Muslimah selain MPM Kamal Ali, Helmi Othman dan Muien Abadi pada malam semalam 20 Mac 2011 di Panggung Seni. Penutupan Karnival Kesenian Islam ini telah dirasmikan oleh Tuan Feriz Omar, Pegawai Khas Jabatan Timbalan Perdana Menteri. 

Karnival Kesenian Islam ini dianjurkan oleh Kolej Ungku Omar dengan kerjasama kumpulan penggerak laman sesawang Islam terkemuka iaitu Iluvislam.com. Berbeza dengan karnival tahunan kolej tersebut sebelum ini, pihak penganjur kali ini lebih menampilkan pembawakan islamik bagi menyediakan alternatif bagi mahasiswa islam khususnya dan mahasiswa seluruhnya tanpa mengira bangsa dan agama amnya.

Menurut Saudara Mohd Afiq Hj Tulos, Ketua Pengarah, objektif Karnival Kesenian Islam dan Pertandingan Musabaqah ini diadakan adalah untuk memperkaya kefahaman Islam dalam diri setiap mahasiswa/i UKM. Ianya seiring dengan Falsafah Pendidikan Negara.

Tuan Feriz Omar juga ada memberitahu dalam ucapannya bahawa pihak kementerian sangat mengalu-alukan program-program yang memartabatkan Islam. Usai ucapan beliau, sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang pula diadakan. Kampus yang terlibat dalam pelbagai acara yang dipertandingkan seperti berzanji, khat, pidato, tilawah Al-Quran dan nasyid adalah dari UKM, UM, USZA, UPNM, UPSI, USIM, UTEM, IBN Alor Gajah, IPG Kampus Sultan Abdul Halim dan IPG Kampus Temenggong Ibrahim.


UKM telah dinobatkan sebagai Kampus Terbaik bagi Karnival Kesenian Islam Ungku Omar!
Terbaik!!!

Sunday 20 March 2011

Sekitar Wacana

Saya dan MPM Amalina berkesempatan untuk menghadiri Wacana Mahasiswa Memacu Perubahan Massa pada 5.00 petang semalam di Kompleks PKNS Bangi. Wacana ini menampilkan Saudara Muzzammil selaku Presiden PMUKM, Saudara Hawari Setiausaha Agung MPM UM dan Saudara Mohd Iqbal Presiden SRC UIA. Saudara Mohd Nazri, Presiden ISIUKM pula tampil sebagai moderator forum.

Antara Input yang diberikan daripada ketiga-tiga ikon mahasiswa ini adalah relevan mahasiswa sebagai perubah masyarakat. Ini melihat kepada 3 elemen penting yang perlu ada pada mahasiswa iaitu idealisme, intelektualisme dan aktivisme. Menurut Saudara Iqbal, mahasiswa mempunyai peranan yang sangat besar berikutan sejarah mahasiswa ini adalah sebagai pendesak dan berjuang di jalanan. Namun pada masa kini, mahasiswa boleh menggunakan cara diplomasi selain di atas jalan. katanya . Mengimbau kembali revolusi Iran, dan jatuhnya rejim Suharto, peranan mahasiswa sangat besar dalam merobah masyarakat.

4 mekanisma saranan Saudara Muzzammil kepada mahasiswa untuk dilaksanakan bagi merubah masyarakat. Pertama, mahasiswa memberi SOLUSI kepada masyarakat untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Kedua, mahasiswa sebagai agen pendidik kepada masyarakat. Ketiga, mahasiswa menyertai khidmat sosial dan melibatkan diri dengan mana-mana pertubuhan yang serius melaksanakan aktiviti kemasyarakatan. Keempat, mahasiswa sebagai ikon kepada belia kini.

Menurut Saudara Hawari, mahasiswa kini semakin lemah dari semua sudut atas beberapa faktor iaitu lemahnya kesedaran politik dan omokan hedonisme selain kekangan AUKU. Beliau juga menerangkan mahasiswa tidak dapat menjana perubahan adalah kerana tidak jelas dasar dan matlamat, kurang figura mahasiswa yang menjadi 'frontliner', tidak ikhlas dalam berjuang dan tidak ada kesatuan.

Pentas wacana ini terus panas dengan tujahan persoalan-persoalan oleh mahasiswa/i yang hadir dari pelbagai kampus termasuklah UKM, UPM, UIA, UM dan sebagainya. Untuk pengetahuan, wacana ini dianjurkan bersempena Karnival Usahawan Cemerlang anjuran Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi (PBBB) dengan kerjasama ISIUKM, GAMIS dan JASA. Karnival ini diadakan bagi mengumpul dana untuk menaiktaraf Sekolah Agama Bandar Baru Bangi.

Alhamdulillah, dalam kepanasan wacana itu, saya turut berkesempatan bertemu sahabat lama iaitu Saudari Mahirah Abdul Rashid yang turut menjadi MPM UIA sebagai Setiausaha.

Thursday 17 March 2011

Pimpinan Mahasiswa Berpencak di Pentas Wacana

Saya amat menggalakkan masyarakat mahasiswa untuk menghadiri wacana, forum dan sebagainya yang mencerminkan keintelektualan. Justeru itu, marilah kita perdengarkan buah akal dari pimpinan mahasiswa pada petang hari Sabtu ini di Kompleks PKNS Bangi!

Gotong-Royong Pejabat PMUKM

Semalam kesemua MPM UKM telah bergotong royong membersihkan pejabat PMUKM yang tersergam indah di Pusanika. Itulah kali pertama melangkahkan kaki ke dalam pejabat mahasiswa meskipun sudah 3 tahun pengajian di UKM.

mengemas surat khabar untuk kitar semula

susunan bagaimana yang sesuai?

Selain mengemas timbunan sampah dan barang-barang yang boleh dikitar semula, susunan perabot turut diubah. Istimewanya, kami membuat ruangan khas untuk berehat dan solat. Ruang tamu dibesarkan dan selesa memandangkan pejabat PMUKM ini akan dibuka sentiasa dan sangat mengalu-alukan kunjungan mahasiswa.

Mahasiswa Sumbang Tabung Bantuan

Setelah pelancaran Tabung Bantuan Mangsa Gempa Bumi-Tsunami di Jepun pada 14 Mac lalu, mahasiswa terus menyumbang sebagai tanda prihatin.

Saya dan MPM lain menyokong usaha universiti dalam misi bantuan ini dengan mengutip derma di peringkat mahasiswa.



Bencana gempa bumi yang menimpa Jepun pada 12 Mac dengan 8.9 skala Ritcher (main event) kemudian disusuli 150 gempa susulan tidak kurang dari 5 skala Ritcher. Gempa yang kuat itu mengakibatkan Tsunami setinggi lebih 10 meter meranapkan bangunan, ladang, dan harta benda yang berada di laluannya. Lebih parah lagi apabila bencana yang menimpa Jepun ini membawa kepada insiden kemalangan di reaktor nuklear Fukushima Daiichi.

Ulasan mengenai insiden nuklear ini telah diberikan oleh speaker PMUKM iaitu Saudara Arif Misrol. Katanya, letupan yang berlaku bukanlah letupan daripada tindak balas nuklear, tetapi berpunca daripada tindak balas kimia gas hidrogen dengan oksigen dan kesan kemalangan tidak merebak ke Malaysia. Beliau yang mengambil Sarjana Keselamatan Sinaran dan Nuklear menasihatkan supaya pengamal media tidak harus menggunakan peristiwa itu sebagai bahan sensasi yang menimbulkan suasana yang tidak selesa di negara ini.

Oleh itu, takziah buat masyarakat Jepun dan wajarlah kita mengambil iktibar dan memandang bencana ini bukanlah semata-mata sebagai peristiwa semulajadi, tetapi pandanglah bencana ini sebagai satu peringatan daripada Allah SWT supaya kembali kepadaNya. Allah berfirman dalam surah Ar-Rum ayat 41:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”

Kutipan sumbangan adalah sehingga hari esok, Jumaat 18 Mac. Sudahkah anda menderma?

Monday 7 March 2011

UPSM Anjur MITRAD 7

Minggu ICT Dan Keterampilan Diri atau MITRAD julung kalinya diadakan buat kali yang ke-7 anjuran Urusetia Pembangunan Sumber Manusia (UPSM) telah dirasmikan oleh Dr Amiruddin Bin Abdul Wahab, Setiausaha Bahagian Dasar ICT, Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi pada petang tadi.

Majlis perasmian diadakan di Tingkat 5 Pusanika pada jam 2.30 petang tadi dihadiri oleh saya bersama Noraini Jumahir, Izuddin Pisol, Wan Ahmad Fahmi, Mohd Ikram dan Ahmad Muzammil, tampil sebagai wakil barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Mahasiswa UKM.



Penganjuran MITRAD ini jelas dapat menjana kemahiran 'softskills' di kalangan mahasiswa bagi meningkatkan kebolehpasaran mahasiswa. Pelbagai aktiviti yang telah disusun oleh mereka antaranya Explorace, Busana ASEAN, Bengkel 'Cup Cake', Pertandingan Poster, Bengkel Adobe Photoshop, Sudoku dan Rubics. Tahniah diucapkan buat semua ahli UPSM yang komited untuk mengadakan MITRAD ini!



Sempat juga kami berbincang dengan Dr Amirudin mengenai isu keselamatan ICT yang mendapat perhatian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Dr Amirudin juga ada menjelaskan mengenai cluster ICT dengan lebih terperinci. Beliau begitu bimbang dengan ICT yang kini merupakan dunia tanpa sempadan. Apa yang paling dibimbangkan adalah blog-blog yang suka menimbulkan isu perkauman juga fitnah-fitnah.

Prof Madya Dr Khaidzir juga ada menambah pengalamannya ke Sarawak, bagaimana mentaliti masyarakat yang teruk, yang melampaui batas. Kepercayaan kepada perkara-perkara khurafat khususnya menyebabkan kemahuan untuk memuaskan nafsu tercapai dengan menggunakan 'air ajaib' dan sebagainya. Beliau juga menyentuh mengenai mahasiswi pengajian Islam yang telah murtad akibat makanannya dicampuri pil khayal dan akhirnya terpukau.

Mereka menasihatkan kami sebagai mahasiswa untuk bersedia menghadapi pelbagai lapisan masyarakat di luar sana.

Thanks for the conversation!

SAYA MAHASISWA PRIHATIN : Salurkan Aduan Anda!

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.

Kami di MPMUKM menjemput rakan-rakan mahasiswa untuk menyalurkan sebarang komen dan aduan atau pandangan anda berkenaan isu-isu semasa kampus UKM pada link Fb di bawah;


Untuk makluman rakan-rakan juga, untuk sebarang aduan berkenaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini terdapat suatu sistem pengaduan berkenaan hal-hal yang berkaitan dengan perkhidmatan kepada pelajar iaitu Sistem Aduan Dalaman Pelajar (SADP)

Ia merupakan satu sistem pengaduan mengenai penyelewengan kewangan, rasuah, penyalahgunaan kuasa, pengurusan hal-ehwal pelajar, hal-hal yang berkaitan sebagai contoh penipuan, pemalsuan dokumen, pemarkahan kursus yang tidak munasabah, sijil kelayakan, membocorkan dokumen rasmi seperti kertas soalan, membuat tuntutan palsu atau penyalahgunaan jawatan untuk kepentingan peribadi.

Semua mahasiswa boleh mengemukakan aduan kepada sistem ini dengan syarat dia mestilah seorang pelajar yang berdaftar dengan UKM.

Di dalam Sistem Aduan Dalaman Pelajar, pihak universiti bertanggungjawab:
1. Menjamin kerahsiaan dan diklasifikasikan sebagai rahsia,sulit.
2. Semua pengadu akan dimaklumkan penerimaan aduannya oleh pihak Universiti dalam tempoh 24 jam waktu bekerja.

Di dalam aduan tersebut, pengadu perlu memberi maklumat lengkap terutama dari segi tarikh, masa, tempat dan orang yang hendak diadukan kesalahan. Perlu diingatkan aduan bukan berbentuk hasad dengki tetapi lebih kepada kebajikan dan kepentingan organisasi dan bertanggungjawab kepada Universiti.


sumber: MPM UKM

Pendaftaran Semester 3 sudah dibuka!

MOHON PERHATIAN buat semua.

Pendaftaran Kursus bagi Semester 3 atau 'short sem' adalah bermula hari ini 7 Mac - 13 Mac 2011

di SMP Web di menu DAFTAR KURSUS / GUGUR TAMBAH KURSUS


Aida Rahayu
MPM UMUM Tahun 3/4 UKM

Ayat-ayat Sakinah




1. Sesungguhnya Kami telah memberikan kepada kamu kemenangan yang nyata
2. supaya Allah memberi ampunan kepadamu terhadap dosa yang telah lalu dan yang akan datang serta menyempurnakan ni’mat-Nya atasmu dan memimpin kamu kepada jalan yang lurus,
3. dan supaya Allah menolongmu dengan pertolongan yang kuat (banyak).
4. Dia-lah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mu’min supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada). Dan kepunyaan Allah-lah tentara langit dan bumi dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana,
5. supaya Dia memasukkan orang-orang mu’min laki-laki dan perempuan ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dan supaya Dia menutupi kesalahan-kesalahan mereka. Dan yang demikian itu adalah keberuntungan yanh besar di sisi Allah,
6. dan supaya Dia mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang musyrik laki-laki dan perempuan yang mereka itu berprasangka buruk terhadap Allah. Mereka akan mendapatkan giliran (kebinasaan) yang amat buruk dan Allah memurkai dan mengutuk mereka serta menyediakan bagi mereka neraka Jahannam. Dan (neraka Jahannam) itulah sejahat-jahat tempat kembali.
7. Dan kepunyaan Allah-lah tentara langit dan bumi. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. 

[Al-Fath : Ayat 1 - 7]

~Sekadar penenang hati, santapan rohani di dingin malam nan sepi~

Sunday 6 March 2011

Inspirasiku: Sultan Muhammad Al-Fateh

[sumber artikel : www.iluvislam.com ]



Sabda Rasulullah SAW ketika menggali parit dalam peperangan Khandaq,
"...Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera..." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Konstantinopel untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah SWT dalam hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umaiyyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Uthmaniyyah.

Dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umaiyyah, seorang sahabat Nabi SAW iaitu Abu Ayyub Al-Ansary RA telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, "Aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Konstantinopel". Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi SAW.

Hadis Nabi SAW ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dengan 150,000 orang tenteranya.

Siapakah Sultan Muhammad Al-Fateh? Apakah kehebatan baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut "sebaik-baik raja" dan "sebaik-baik tentera" dalam hadis tersebut?

Biodata Ringkas

Baginda Sultan Muhammad Al-Fateh dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai "sebaik-baik raja" di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al-Fateh kerana kejayaannya membebaskan Konstantinopel.

Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen ketenteraan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 akibat sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat baginda mangkat diracun.

Pendidikan

Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al-Wali dikatakan daripada keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq RA. Dalam ilmu peperangan pula, baginda diajar tentang taktik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

Dalam bidang akademik pula, baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Dalam bidang ilmu pemerintahan pula, ayahandanya Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini baginda telah matang menangani tipu helah musuh.

Keperibadian

Baginda sentiasa bersifat tawaduk. Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja. Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamadan selalu berbincang dengan mereka mengenai permasalahan negara.

Persiapan Awal Membebaskan Konstantinopel

Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Kostantinopel setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.

Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom seberat 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Konstantinopel apabila diserang nanti.

Baginda membawa bersama para ulama dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Konstantinopel, baginda mengarahkan dilaungkan azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.

Melancarkan Serangan ke atas Konstantinopel

Setelah segala persiapan lengkap diatur, baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan Raja Bizantin menyerah mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.

Menara Bergerak

Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.

Bantuan Dari Pope Vatican

Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Uthmaniyyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.

Melancarkan Kapal Perang dari Puncak Gunung

Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Uthmaniyyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Taktik ini diakui sebagai antara taktik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.

Kapal-kapal perang tentera Bizantin habis terbakar dek bedilan meriam Uthmaniyyah. Pertahanan Bizantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada hadis Rasulullah SAW dan bersama-sama berdoa kepada Allah SWT.

Memanjat dan Melastik Dinding Kota

Keesokan paginya tentera Uthmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Bizantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengah hari.

Karisma Seorang Pemimpin

Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, "Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku".

Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Bizantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.

Penawanan Constantinople

Pada 29 Mei 1453, Kota Konstantinopel jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St. Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawaduknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran "Al-Fateh" iaitu yang bermaksud "pembuka" atau "penakluk" lantaran kejayaannya membebaskan Konstantinopel.

Sebaik-baik Raja dan Sebaik-baik Tentera

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali, sila duduk!" Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk!" Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!" Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat tahajjud sejak baligh. Baginda sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya itu.

Dinihari kita cukup ketandusan pemimpin yang berjiwa rakyat serta berkarisma seperti Sultan Muhammad Al-Fateh untuk mengembalikan ketamadunan dan kegemilanagan ISLAM ini kembali. Ayuh, kita mulakan langkah menakluk diri seperti mana Sultan Muhammad Al-Fateh telah berusaha menakluk kota hebat Konstantinopel.
_____________________________________________
Catatan Diri ;
~ baginda menjadi inspirasi diriku, sangat kagum kerana pada usia muda sebegitu sudah hebat memimpin dengan ilmu agama yang tinggi & akhirnya berjaya menawan Kota Konstantinopel dengan penuh tawadhu'..
(jika nak dibandingkan dengan kemenangan baginda, apalah sangat kemenangan dalam PMUKM ini....)

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grants For Single Moms