Saturday 28 May 2011

Bengkel Adobe Photoshop ISIUKM

Tanggal 25 Mei 2011, memenuhi jemputan Saudara Hilman Iqbal Rusli, pimpinan Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM) untuk mengajar software adobe photoshop bersama 2 lagi tenaga pengajar iaitu Saudara Aiman Zafri Aminuddin dan Saudari Rahmah Mastura. Saya tiba lambat kerna terpaksa menghadiri mesyuarat. Jumlah peserta tidak kurang ramainya iaitu 22 orang. Tidak seramai ini ketika era kepimpinanku dalam ISIUKM tahun lalu selaku Timbalan Lajnah Informasi & Penerbitan. Tahniah buat kepimpinan ISIUKM!

Adobe Photoshop merupakan software yang digunakan untuk membuat poster, banner dan sebagainya yang lazim digunakan untuk publisiti sesuatu program. Bagi yang lebih 'advance' software Adobe Illustrtaor adalah pilihan terbaik. Bercerita mengenai software Adobe Photoshop ini, saya berminat untuk menguasai software ini sejak di menengah atas dek keterujaan melihat design poster yang hebat. Mendapat didikan formal di Kolej Matrikulasi Johor dalam subjek Sains Informatik sehingga menjuarai pertandinagn poster anjuran perpusatakaan Pendeta Zaaba KMJ. Waktu cuti yang panjang sebelum mendaftar sebagai mahasiswa UKM, saya gunakan dengan sebaiknya dengan mencuba dan mencuba juga memahirkan diri membuat poster dan video. Pertama kali menyumbang di UKM adalah ketika Muktamar Sanawi ISIUKM ketika di tahun pertama. Seterusnya bermulalah perjalanan hidup di UKM sebagai 'designer' di PMFST, Kelab Geologi, ISIUKM dan kini PMUKM.


Menguasai bidang ini merupakan satu pulangan yang baik perjalanan hidup, tidak hanya di kampus semata, pastinya akan diperlukan diluar kampus nanti. InsyaALLAH moga beroleh manfaat dan diredhai Allah. Gunakanlah dan mahirkanlah apa yang dipelajari untuk Islam yang utamanya.


Friday 20 May 2011

SIGMA GAMIS Anjur Forum Sinergi Kasih Ibu


Forum Sinergi Kasih Ibu anjuran Srikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA) GAMIS jelas memberi manfaat kepada para hadirin dari pelbagai pelusok kawasan yang meluangkan masa mendengar amanat dan buah fikiran. Panel yang dijemput adalah Puan Wardina Safiyyah (Personaliti TV3), Ustaz Rohidzir Rais (Pendakwah bebas dan penulis buku PTS Publisher) dan YB Dr Halimah Ali (Exco Pembangunan Insan Selangor Darul Ehsan) manakala Saudari Nadzirah Abu Bakar sebagai moderator forum merangkap Pengerusi SIGMA.

Forum ini diadakan di Masjid Teras Jernang, Bangi dan dirasmikan oleh YB Dr Shafie, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi. Usai tayangan multimedia hasil kerjaku yang tak seberapa, forum dimulakan dengan perkongsian hebat dari Puan Wardina. Beliau sangat menekankan kepentingan mengajar anak mengenai emosi, nafsu dan memberitahu sebab musabab perintah Allah. Tambah beliau pengajaran lebih berkesan apabila dapat mendidik dalaman anak-anak bukan mengajarkan mereka ilmu mengeja, fizikal atau luaran semata-mata.

Ustaz Rohidzir Rais mencadangkan kursus keibubapaan perlu dititikberatkan walau masih belum berkahwin. Beliau turut mengulas bagaimana seorang isteri mithali itu tidak cukup jika hanya BAIK tanpa berjiwa berani sepertimana Asiyah yang berjaya merubah fikiran firaun dan mendidik Nabi Musa. Katanya lagi, selain BERANI, perlu juga ada nilai SABAR, ILMU, TELADAN, AMANAH, REDHA, dan IKHLAS.

Misi kerajaan negeri Selangor adalah pembangunan modal insan di bawah seliaan YB Dr Halimah Ali. Beliau yang mempunyai 6 orang anak 4 daripadanya menceburi bidang perubatan melihat pembangunan insan adalah teras paling penting dalam masyarakat bagi membentuk Baldatun Toyyibatun wa Rabbunghafur. Pembangunan insan adalah berpandukan 5 perkara iaitu SPIES - SPIRITUAL, PHYSICAL, INTELLECTUAL, EMOTIONAL, dan SOCIAL.

Forum yang berakhir pada kira-kira jam 11.30 malam cukup memberi manfaat buat bakal-bakal ibu yang rata-ratanya dari kampus UKM, UPM, USIM, UM, UIA, KPTM dan lain-lain. Pertemuan bersama sahabat-sahabat seperjuangan merentas kampus di program kami bersama ini sungguh manis!


p/s: syukur dapat siapkan dan tayangkan video perasmian. ^_^

BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI

Perkembangan Kafeteria Kolej Keris Mas

Minggu ketiga praktikal di Institut Kajian Hidraulik Kebangsaan (NAHRIM), Seri Kembangan tidak menghalang saya untuk ke kampus UKM pada petang semalam. Setelah mengambil keputusan analisis XRD di bangunan geologi dan urusan di Pusat Pengajian Sains Sekitaran & Sumber Alam, saya mengambil kesempatan bertandang ke Unit Penjanaan Jabatan Bendahari.

Pertemuan dengan Encik Nazri Putra mengujakan apabila beliau memberitahu tender baru kafeteria Kolej Keris Mas akan beroperasi bermula awal Julai. Tender milik UKM Holdings suda mula berkemas dan tarikh akhir tamat perkhidmatannya ada 31 Mei 2011. Sebut harga baru dibuka semalam 19 Mei sehingga 2 Jun 2011. Pada minggu hadapan akan diadakan lawatan tapak.

Berikutan kafeteria kolej tersebut yang tidak beroperasi sehinggalah tender baru menggantikannya, pihak Unit Penjanaan sudah pun mencadangkan kepada peringkat pentadbiran kolej tersebut untuk kafeteria sementara yang melibatkan kafeteria di KTAMS.


BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI

Monday 16 May 2011

15 Mei - Hari Nakba



Ada apa pada 15 Mei? Ya benar, Hari Belia Negara. Namun, apa yang ingin saya kongsi di sini adalah Hari Nakba yang patut diingati oleh segenap seluruh masyarakat Islam. Media cenderung untuk membawakan iklan-iklan Hari Belia, Hari Ibu, Hari Bapa, dan bermacam lagi berbanding hari penting umat islam ini.

Hari Nakba mula disambut pada 15 Mei 1948 oleh pemimpin Palestin, Yasser Arafat dan disertai oleh sejuta orang. Hari al-Nakba atau Yaumu al-Nakba membawa maksud ‘hari malapetaka’ sebagai memeperingati pengusiran penduduk Arab Palestin oleh pengganas Zionis dan peperangan yang membawa kekalahan kepada penduduk Arab pada 1948. Penduduk Arab Palestin menganggap semua pengusiran dari kampung halaman sejak mandat British (1920-1948) sehingga Perang Arab-Israel 1948 oleh pengganas Zionis sebagai al-Nakba.
Sehingga 1949, lebih 700,000 penduduk Arab Palestin telah diusir dan menjadi pelarian dan 418 kampung dan bandar dimusnah dan dirampas. Tarikh 15 Mei dipilih sebagai sambutan Hari al-Nakba kerana pada tarikh tersebut mandat British di Palestin berakhir dan pembentukan Negara Israel yang merdeka diisytiharkan secara rasmi dengan Presiden Harry S. Truman pemimpin negara pertama membuat pengiktirafan. Penduduk Arab Palestin mahukan sebuah negara bersatu bagi penduduk Arab dan Yahudi tetapi pelampau Yahudi memilih negara berasingan.

Di Israel, Hari al-Nakba disambut dengan mengadakan bantahan oleh penduduk Arab Palestin yang bersamaan dengan hari kebangsaan Yahudi itu. Ahli politik Israel, Avigdor Lieberman pernah meminta anggota Knesset (Parlimen) Arab Israel yang merayakan Hari al-Nakba dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan mengkhianat.

Sambutan di Tebing Barat dan Gaza selalunya menyaksikan pertempuran antara pejuang Palestin dan tentera rejim Tel Aviv. Pada 2003 & 2004 sambutan dengan mengadakn tunjuk perasaan turut diadakan di London & New York.
Maklumat dari rakan saya, pada 13 Mei yang baru berlalu telah dilancarkan Intifadhah Palestin yang ke3. Laungan takbir dan intifadhah ini sudah bermula selepas solat subuh di sekitar kaherah. 


Di sana haru dengan perlawanan antara muslim palestin dengan israel laknatullah, kita di sini masih lagi haru dengan konsert hiburan yang melalaikan. Bilakan berakhir semua ini? Marilah sedar rakan-rakan mahasiswa. Sama-sama kita doakan saudara muslim kita di sana.

Wednesday 11 May 2011

TV PMUKM : Medium Baru PMUKM


Laman sawang Youtube harus dimanfaatkan sebaiknya. Moga dengan pengwujudan TV PMUKM sebagai satu saluran baru penerangan PMUKM dapat mempromosi dan mengangkat nama UKM. 

Mengimpikan saluran ini sebagai TV mahasiswa UKM setanding dengan TV UKM kendalian Unit Penerbitan UKM.

Video pertama iaitu Teaser Majalah Universiti Kebangsaan Malaysia Edisi ke-34 sudah dimuat naik yang sebelum ini sudah diletakkan di facebook. Video seterusnya merupakan video korporat PMUKM. Nantikan!

BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI

Tuesday 10 May 2011

Kembara Kedah : Ziarah Keluarga Allahyarhamah Ratna Sufizzahriyanti Binti Omar

Pada 7 Mei lalu, seramai 6 orang MPP UKM yang terdiri daripada MPP Muslimah, Noraini, Noriah, Harith, Ikram dan saya sendiri telah menziarahi keluarga arwah Ratna Sufizzahriyanti di Mukim Tobiar, Pendang, Kedah. Ziarah ini juga disertai oleh rakan MPP seperti saudara Waliyuddin, Hilmi Ramli, dan Taufiq.

Perjalanan pada jam 10.30 malam dari kampus memakan masa selama 6 jam. Usai solat subuh di Masjid Pekan Pendang dan menjamu selera di rumah rakan MPP, saudara Hilmi Ramli, delegasi kami tiba di tanah perkuburan tempat arwah dikebumikan kira-kira pada jam 11.00 pagi.

Lafaz tahlil berakhir, keluarga arwah yang terdiri daripada abang, adik dan ibunya membawa kami ke rumah mereka tidak jauh dari kawasan perkuburan. Ibu tunggal tersebut sangat tabah dan sudi berkongsi cerita bersama MPP yang hadir. Menurut beliau, arwah Yanti (Ratna) sangat ceria, terpelihara akhlaknya, sepertimana yang diceritakan oleh rakan-rakan kelas dan rakan persatuan seperti saudari MPP Noriah dan Waliyuddin.

Daripada sesi perkongsian dari pihak keluarga arwah dapat disimpulkan bahawa media massa telah menimbulkan persepsi negatif terhadap arwah Ratna demi melariskan berita khususnya tentang perhubungan arwah dengan lelaki tersebut dan cara kematian.

“Saya sangat kesal dengan media massa kini yang menghebahkan berita yang tidak benar sehingga  menimbulkan pelbagai persepsi terhadap arwah akibat penulisan yang ditokok tambah. Kita serahkan kepada pihak polis untuk selesaikan kes pembunuhan ini," ujar Muslimah.

Di akhir pertemuan, pihak MPP memberikan sedikit sumbangan buat keluarga arwah. Kata-kata perangsang dari MPP Muslimah dan MPP Harith sedikit sebanyak dapat memberikan motivasi kepada keluarga arwah.

PMUKM mengharapkan rakan-rakan mahasiswa terus berdoa supaya arwah ditempatkan bersama orang-orang soleh.

p/s : rasa sangat bersyukur walaupun merancang pada saat akhir, walaupun dengan kenderaan sendiri, kami tekad juga untuk kembara ke Kedah.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grants For Single Moms