Sunday, 20 March 2011

Sekitar Wacana

Saya dan MPM Amalina berkesempatan untuk menghadiri Wacana Mahasiswa Memacu Perubahan Massa pada 5.00 petang semalam di Kompleks PKNS Bangi. Wacana ini menampilkan Saudara Muzzammil selaku Presiden PMUKM, Saudara Hawari Setiausaha Agung MPM UM dan Saudara Mohd Iqbal Presiden SRC UIA. Saudara Mohd Nazri, Presiden ISIUKM pula tampil sebagai moderator forum.

Antara Input yang diberikan daripada ketiga-tiga ikon mahasiswa ini adalah relevan mahasiswa sebagai perubah masyarakat. Ini melihat kepada 3 elemen penting yang perlu ada pada mahasiswa iaitu idealisme, intelektualisme dan aktivisme. Menurut Saudara Iqbal, mahasiswa mempunyai peranan yang sangat besar berikutan sejarah mahasiswa ini adalah sebagai pendesak dan berjuang di jalanan. Namun pada masa kini, mahasiswa boleh menggunakan cara diplomasi selain di atas jalan. katanya . Mengimbau kembali revolusi Iran, dan jatuhnya rejim Suharto, peranan mahasiswa sangat besar dalam merobah masyarakat.

4 mekanisma saranan Saudara Muzzammil kepada mahasiswa untuk dilaksanakan bagi merubah masyarakat. Pertama, mahasiswa memberi SOLUSI kepada masyarakat untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Kedua, mahasiswa sebagai agen pendidik kepada masyarakat. Ketiga, mahasiswa menyertai khidmat sosial dan melibatkan diri dengan mana-mana pertubuhan yang serius melaksanakan aktiviti kemasyarakatan. Keempat, mahasiswa sebagai ikon kepada belia kini.

Menurut Saudara Hawari, mahasiswa kini semakin lemah dari semua sudut atas beberapa faktor iaitu lemahnya kesedaran politik dan omokan hedonisme selain kekangan AUKU. Beliau juga menerangkan mahasiswa tidak dapat menjana perubahan adalah kerana tidak jelas dasar dan matlamat, kurang figura mahasiswa yang menjadi 'frontliner', tidak ikhlas dalam berjuang dan tidak ada kesatuan.

Pentas wacana ini terus panas dengan tujahan persoalan-persoalan oleh mahasiswa/i yang hadir dari pelbagai kampus termasuklah UKM, UPM, UIA, UM dan sebagainya. Untuk pengetahuan, wacana ini dianjurkan bersempena Karnival Usahawan Cemerlang anjuran Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi (PBBB) dengan kerjasama ISIUKM, GAMIS dan JASA. Karnival ini diadakan bagi mengumpul dana untuk menaiktaraf Sekolah Agama Bandar Baru Bangi.

Alhamdulillah, dalam kepanasan wacana itu, saya turut berkesempatan bertemu sahabat lama iaitu Saudari Mahirah Abdul Rashid yang turut menjadi MPM UIA sebagai Setiausaha.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grants For Single Moms