Hati terasa sangat bersyukur dipertemukan dengan rakan-rakan mahasiswa dari seberang iaitu Barisan Eksekutif Mahasiswa Republik Indonesia semalam di Bilik Gerakan HEP.
Perkongsian menarik dari pihak BEMSI yang diketuai oleh saudara Presiden BEMSI sendiri iaitu Saudara Sayyidi dari Universiti Padjadjaran Bandung menceritakan serba sedikit pergerakan BEMSI yang meliputi seluruh indonesia. BEMSI terbahagi kepada wilayah-wilayah seperti Sumatera Barat dan Sumatera Timur serta banyak lagi. Agenda perjuangan yang sebanyak 7 paksi dibahagikan mengikut universiti.
Saudara Sayyidi menjelaskan gerakan BEMSI adalah berteraskan moraliti dan intelektualiti. Tidak seperti di Malaysia yang tidak bebas, mahasiswa di Indonesia berfungsi sebagai 'agent of change' yang membawa suara rakyat. Tegasnya, suara mahasiswa bererti suara rakyat. Hal ini kerana, mahasiswa indonesia diangkat oleh rakyat sendiri sebagai agen perubahan kerana kuasa pendesak anak muda terhadap kerajaan. Mahasiswa adalah sebagai 'watch dog' atau yang mengawasi pergerakan pemerintah agar tidak ada korupsi yang berlaku.
Mohd Nasrullah Wakil kedutaan Besar Republik Indonesia melihat isu pergeseran sesetengah kelompok di Indonesia yang membakar bendera Malaysia dan 'Ganyang Malaysia' menyebabkan pihak kedutaan Indonesia sendiri berhasrat untuk mempertemukan pemimpin mahasiswa kedua-dua negara. Akhirnya, penubuhan Kesatuan Mahasiswa Indonesia Malaysia berjaya ditubuhkan pada 18 April jam 1.20 petang di Kedutaan Besar Republik Indonesia dan Saudara Mohd Ikram Bin Darus diamanahkan untuk memimpin gerakan sebagai Presiden. Mengikut perancangan, satu diskusi bahkan berupa konvensyen menghimpunkan ratusan pemimpin mahasiswa Malaysia dan Indonesia bakal diadakan pada Julai nanti.
Saudara Musyrif merancakkan lagi pertukaran pendapatan dengan mengutarakan isu yang menggugat sedikit sebanyak hubungan baik Malaysia Indonesia berkaitan nelayan Malaysia ditangkap di kepulauan, berebut perairan Ambalat lalu ada beberapa golongan yang emosi dan memburukkan keadaan di peringkat 'grass root'. Saudara Mohd Abdullah pula mengutarakan isu demonstrasi yang tidak lagi menjadi perkara asing oleh kalangan mahasiswa Indonesia.
Mahasiswa Indonesia dibayangi sejarah mahasiswa yang terlibat dalam perjuangan kemerdekaan. Kelompok mahasiswa menjadi kelompok pendesak untuk menuntut kemerdekaan. Malah pada tahun 1996, mahasiswa yang menjatuhkan rejim menuntut sebuah perubahan buat rakyat Indonesia. Pada tahun 1998, mahasiswa Indonesia secara optimum menjatuhkan rejim yang korup dalam kerajaan Indonesia. Gerakan mahasiswa tidaklah bersifat statik tetapi bersifat mapan dengan adanya badan-badan lain yang melibatkan mahasiswa untuk berbakti kepada masyarakat melalui sistem pendidikan kepada rakyat kerana kualiti rakyat adalah bergantung kepada sistem pendidikan.
Demonstrasi merupakan salah satu aksi oleh mahasiswa Indonesia setelah jalan diplomasi tidak dipeduli kerajaan. Sebelum demonstrasi dibuat, kajian dibuat secara menyeluruh berkaitan sesuatu isu. Hasil kajian akan menuju kepada solusi-solusi yang dicadangkan kepada pemerintah. Tidaklah mahasiswa turun ke jalan selagi jalan diplomasi belum digunakan. Hal ini kerana, gerakan BEMSI dalam mengetuai mahasiswa Indonesia seluruhnya berasaskan moraliti dan intelektualiti.
Namun begitu, media negara tersebut dikuasai orang berkepentingan yang mana mereka tidak merasakan usaha-usaha diplomasi sebagai satu isu panas yang boleh dipasarkan. Apa yang ditayangkan adalah demonstrasi semata.
Saudari Azida turut bangkit ingin tahu gerakan mahasiswi Indonesia supaya dapat mengamal praktif gerakan mahasiswi Malaysia.
Akhir sekali, majlis ini diakhiri dengan jamuan dan kunjungan BEMSI ke pejabat PMUKM.
BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI
0 comments:
Post a Comment