Pertama dan selamanya, marilah kita panjatkan rasa syukur kepada  Allah S.W.T yang telah mengizinkan kita untuk terus mengecapi nikmat  kembali kepada fitrah setelah melalui fasa tarbiyyah di bulan Ramadhan.  Juga selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Penyelamat Ummah,  Rasulullah SAW, ahli keluarga beliau, para sahabat dan tabien sekalian.
Sesungguhnya kita telah melalui fasa tarbiyyah tahunan di bulan  Ramadhan yang disebut-sebut sebagai penghulu segala bulan. Selama tiga  puluh hari hidup kita menyaksikan pertarungan sengit antara diri yang  ingin menuntut fitrah menurut nafsu yang tidak sedikit. Justeru apabila  tiba 1 Syawal, Allah Maha Suci telah mewajibkan umat Islam meraikan  kemenangan perjuangan ini dengan pengharaman berpuasa dan diwajibkan  kita merayakan 1 Syawal ini.
Maka diharapkan dengan kedatangan Syawal serta berlalunya Ramadhan  bersama-sama proses tarbiah mampu menjadi bekalan bagi menghadapi  bulan-bulan seterusnya. Gunakanlah segala hasil tarbiah Ramadhan untuk  menyemarakkan lagi semangat beribadah dan bermujahadah. Pastikan kita  sentiasa berterusan mengunjungi masjid dan surau untuk menunaikan solat  berjamaah, mengikuti kelas-kelas pengajian, tadarus al-Quran dan  amalan-amalan kebajikan sehingga dapat membentuk diri dan umat Islam  yang mantap iman dan bertaqwa kepada Allah SWT. Insya’Allah, akan  diperolehi pertolongan yang dijanjikan oleh Allah kepada umat Islam.
TRANSFORMASI DIRI DI BULAN RAMADHAN
Sesungguhnya perkara yang paling digemari Rasulullah adalah  bersederhana (wasatiyyah). Maka bersesuaian dengan Ramadhan yang bakal  ditinggalkan, alangkah mulianya jika setiap kita lebih mengutamakan  keperluan(need) daripada kehendak(desire) dalam merancang sesuatu hal.  Kita wajar berusaha supaya amal selepas Ramadhan ini tidak sesekali  bercampur aduk dengan perkara-perkara berbentuk maksiat serta pembaziran  kerana ia amat bertentangan dengan ajaran Islam.
Menyahut tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu  “1Malaysia : Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera”, marilah kita  sama-sama mentransformasikan diri daripada diri yang dulu kepada yang  lebih baik dengan impak ibadah dalam bulan Ramadhan yang telah kita  jalani sebelum ini. Signifikan hari kemerdekaan yang jatuh pada bulan  Syawal ini bukan hanya semata-mata perlu dirasai dengan merdekanya  negara kita daripada kawalan kuasa asing; penindasan dan penjajahan  ataupun merdeka daripada mengikut telunjuk orang lain.
Tetapi ayuh kita raikan juga sambutan hari kemerdekaan dalam bulan  Syawal pada tahun ini dengan memerdekakan diri kita daripada hawa nafsu  yang membelenggu selama ini. Moga kita mampu lepas dan bebas daripada  telunjuk dan perhambaan kepada syaitan pasca Ramadhan kali ini. Semoga  dengan itu, kita mampu hidup dalam Redha Ilahi dan sejahtera bersama  Rahmat – Nya sentiasa.
 TANGGUNGJAWAB PERJUANGAN MAHASISWA
Apabila disebut tanggungjawab perjuangan, ia merupakan topik serius  yang memerlukan perhatian yang serius kita bersama. Imam Hasan al-Banna  menyebutkan di dalam karangan-karangan beliau, "sesungguhnya hidup ini  sifatnya berkorban bukan hanya menadah tangan dan berserah nasib."  Itulah sifat pejuang dan penda’wah yang menjulang panji ketuanan agama.  Mereka mempunyai daya tahan dan jati diri yang tinggi, bersedia untuk  berdikari dan memberi.
Maka di kesempatan ini pihak PMUKM sekali lagi mengulangi gesaan di  peringkat rakyat marhaen yang inginkan UKM secara khusus mencari titik  keseimbangan antara teori dengan amal, sains dengan sastera dan  kesejahteraan rohani dengan kemajuan material sebagaimana yang  ditekankan di dalam Falsafah Universiti yang tercipta bersama-sama  penubuhan UKM 41 tahun dahulu.
Juga perlu sentiasa diingatkan bahawa tanggungjawab universiti  bukanlah semata-mata untuk memenuhi tuntutan keperluan tenaga mahir di  pasaran sahaja, tetapi lebih penting dan besar daripada itu, ialah  sebagai badan yang dapat membina pemikiran yang kritikal dan berwawasan.
Dalam kata lain UKM secara khusus dan IPTA-IPTA lain perlu memimpin  dan menawarkan gagasan, jalan dan cara bagaimana perubahan harus  ditangani. Universiti seharusnya, pada ketika tertentu dan dalam isu-isu  tertentu, perlu membantu masyarakat dan negara untuk membuat pilihan di  antara pilihan yang ada berasaskan penyelidikan yang rapi dan  meyakinkan.
Isu-isu asas yang masih menghambat kepada kemajuan dan pembangunan  komuniti serta sosio-ekonomi negara seperti pembinaan negara bangsa,  pembangunan teknologi & sains untuk komuniti, mengukuh warisan dan  ketamadunan bangsa, dan mengukuhkan daya saing negara di samping  matlamat asas Universiti untuk membangunkan sumber modal insan yang  berilmu merupakan isu pokok yang masih memerlukan siri-siri penyelidikan  yang mendalam.
 PERANAN MAHASISWA
Di peringkat mahasiswa, PMUKM berhasrat untuk menggembleng tenaga  mahasiswa dalam usaha menjayakan agenda-agenda Universiti yang sangat  banyak dicadangkan khususnya di bawah Pelan Transformasi UKM. Apapun  penggemblengan tenaga mahasiswa ini tidak lari dari tiga (3) tonggak  utama yang disebut di dalam Ucapan Dasar Presiden dahulu iaitu (i)  mahasiswa untuk mahasiswa, (ii) mahasiswa untuk masyarakat dan (iii)  mahasiswa untuk negara; dalam menjana kepimpinan berkaliber hari ini dan  membina pengganti kepimpinan pada akan datang.
Justeru dengan tema "Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti"  kepimpinan Persatuan Mahasiswa UKM sesi kali ini selaku badan induk yang  menaungi lebih seratus persatuan mahasiswa lain di UKM, akan berjaya  meraih sokongan dan dokongan rakan-rakan mahasiswa dan rakyat Malaysia  secara amnya dari jauh.
Dan semoga Aidilfitri kali ini benar-benar disambut sebagai kita yang  pulang kepada asalnya yang fitrah (al-’aaideen) dan berjaya  (al-faaizeen).
Selamat Hari Raya Aidilfitri 1432 H & Selamat Hari Kebangsaan Malaysia Ke-54
Aida Rahayu Mohd Badri
Pengerusi Biro Informasi & Penerangan
Persatuan Mahasiswa UKM Sesi 2010-2011
Artikel ini disiarkan di 
Harakahdaily