Thursday 21 April 2011

Pertemuan MPM Aida & Ikram Bersama Unit Penjanaan, Jabatan Bendahari


Usaha menyuarakan hasrat mahasiswa berkaitan isu kafeteria ke pentadbiran tercapai jua apabila semalam, saya dan Ikram bertemu Unit Penjanaan, Jabatan Bendahari UKM. Mesyuarat bersama Encik Mansor Shahid, Encik Nazri Putra Ramli dan Encik Kadir Rahmat bermula pada jam 9.30 pagi di Bilik Mesyuarat, Jabatan Bendahari, Canselori.

Agenda pertama dimulakan dengan pembentangan analisis soal selidik untuk mahasiswa berkaitan dengan pemantauan kafeteria. Saya turut mengemukakan rekod aduan bagi setiap kafeteria seluruh kampus dalam sesi pembentangan itu. 

Berkaitan harga makanan, kebanyakan mahasiswa berpendapat bahawa kadar harga yang ditetapkan oleh para pengurus cafeteria tidak sesuai untuk pelanggan utama mereka yang berstatus pelajar. Hal ini berlaku di cafeteria seperti di Kolej Keris Mas dan Kolej Burhannuddin Helmi. Selain harga makanan yang mahal, harga yang tidak menentu dan bergantung kepada penjaga kaunter turut berlaku terutama di kafeteria Fakulti Sains dan Teknologi dan Kolej Aminuddin Baki.
  
    Berhubung dengan kebersihan makanan, banyak aduan yang dikemukakan adalah berkaitan bahan mentah yang dimasak sudah lama dan rosak seperti yang berlaku di kafeteria Kolej Ibu Zain. Malahan makanan di kafeteria Kolej Dato’ Onn seringkali mengandungi telur lalat. Secara keseluruhannya, kebanyakan kafeteria mempunyai masalah kebersihan makanan dan tempat penyediaan makanan.

   Respon dari Encik Mansor Shahid memberitahu bahawa kafeteria seperti Kolej Rahim Kajai dan Kolej Aminuddin Baki yang sudah lama kontraknya akan tamat. Perlantikan tender kafeteria bagi kolej tersebut akan diadakan bagi memenuhi keperluan sesi semester akan datang. Dalam tempoh sebulan dari sekarang, sesi temuduga terhadap syarikat yang berminat akan dijalankan. Kafeteria Kolej Burhanuddin Helmi pula akan ditamatkan kontrak atas permintaan mahasiswa yang menghuni kolej tersebut kerana terlalu mahal. Baru kelmarin pihak Unit Penjanaan membuka kepada mana-mana syarikat yang berminat menggantikan kafeteria KBH yang ada sekarang. 

   Apabila diajukan masalah yang dihadapi oleh mahasiswa Kolej Keris Mas berkaitan kafeteria mereka, En Mansor memberitahu isu tersebut telah dimaklumkan ke pihak pentadbiran atasan universiti kerana melibatkan syarikat universiti. Manakala kafeteria di Kolej Pendeta Zaaba pula bukan dibidang kuasa Unit Penjanaan tetapi sepenuhnya Syarikat Kauthar.

Pihak Encik Mansor menyambut baik cadangan yang dikemukakan iaitu:
  • penetapan/penyelarasan harga makanan bagi satu tempoh tertentu.
  • penyelarasan pemantauan kafeteria oleh Unit Penjanaan dan Pusat Kesihatan untuk penggredan kafeteria.
  • soal selidik pemantauan kafeteria secara online untuk liputan menyeluruh dan membumi
En Kadir Rahmat merasakan pertemuan sebegini perlu lebih kerap demi menambahbaik dan memastikan kafeteria menyediakan perkhidmatan yang terbaik. Katanya lagi, pihak Unit Penjanaan sangat berbesar hati menerima kunjungan dan ide pandangan dari mahasiswa.

Tidaklah usaha ini terhenti di sini, bahkan akan berjalan tanpa henti. Cuma mengharap sokongan dan dokongan dari rakan-rakan mahasiswa.

BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI.

Wednesday 20 April 2011

PMUKM Sambut Baik Delegasi BEMSI


Hati terasa sangat bersyukur dipertemukan dengan rakan-rakan mahasiswa dari seberang iaitu Barisan Eksekutif Mahasiswa Republik Indonesia semalam di Bilik Gerakan HEP.

Perkongsian menarik dari pihak BEMSI yang diketuai oleh saudara Presiden BEMSI sendiri iaitu Saudara Sayyidi dari Universiti Padjadjaran Bandung menceritakan serba sedikit pergerakan BEMSI yang meliputi seluruh indonesia. BEMSI terbahagi kepada wilayah-wilayah seperti Sumatera Barat dan Sumatera Timur serta banyak lagi. Agenda perjuangan yang sebanyak 7 paksi dibahagikan mengikut universiti.

Saudara Sayyidi menjelaskan gerakan BEMSI adalah berteraskan moraliti dan intelektualiti. Tidak seperti di Malaysia yang tidak bebas, mahasiswa di Indonesia berfungsi sebagai 'agent of change' yang membawa suara rakyat. Tegasnya, suara mahasiswa bererti suara rakyat. Hal ini kerana, mahasiswa indonesia diangkat oleh rakyat sendiri sebagai agen perubahan kerana kuasa pendesak anak muda terhadap kerajaan. Mahasiswa adalah sebagai 'watch dog' atau yang mengawasi pergerakan pemerintah agar tidak ada korupsi yang berlaku.

Mohd Nasrullah Wakil kedutaan Besar Republik Indonesia melihat isu pergeseran sesetengah kelompok di Indonesia yang membakar bendera Malaysia dan 'Ganyang Malaysia' menyebabkan pihak kedutaan Indonesia sendiri berhasrat untuk mempertemukan pemimpin mahasiswa kedua-dua negara. Akhirnya, penubuhan Kesatuan Mahasiswa Indonesia Malaysia berjaya ditubuhkan pada 18 April jam 1.20 petang di Kedutaan Besar Republik Indonesia dan Saudara Mohd Ikram Bin Darus diamanahkan untuk memimpin gerakan sebagai Presiden. Mengikut perancangan, satu diskusi bahkan berupa konvensyen menghimpunkan ratusan pemimpin mahasiswa Malaysia dan Indonesia bakal diadakan pada Julai nanti.

Saudara Musyrif merancakkan lagi pertukaran pendapatan dengan mengutarakan isu yang menggugat sedikit sebanyak hubungan baik Malaysia Indonesia berkaitan nelayan Malaysia ditangkap di kepulauan, berebut perairan Ambalat lalu ada beberapa golongan yang emosi dan memburukkan keadaan di peringkat 'grass root'. Saudara Mohd Abdullah pula mengutarakan isu demonstrasi yang tidak lagi menjadi perkara asing oleh kalangan mahasiswa Indonesia.

 
Mahasiswa Indonesia dibayangi sejarah mahasiswa yang terlibat dalam perjuangan kemerdekaan. Kelompok mahasiswa menjadi kelompok pendesak untuk menuntut kemerdekaan. Malah pada tahun 1996, mahasiswa yang menjatuhkan rejim menuntut sebuah perubahan buat rakyat Indonesia. Pada tahun 1998, mahasiswa Indonesia secara optimum menjatuhkan rejim yang korup dalam kerajaan Indonesia. Gerakan mahasiswa tidaklah bersifat statik tetapi bersifat mapan dengan adanya badan-badan lain yang melibatkan mahasiswa untuk berbakti kepada masyarakat melalui sistem pendidikan kepada rakyat kerana kualiti rakyat adalah bergantung kepada sistem pendidikan.



Demonstrasi merupakan salah satu aksi oleh mahasiswa Indonesia setelah jalan diplomasi tidak dipeduli kerajaan. Sebelum demonstrasi dibuat, kajian dibuat secara menyeluruh berkaitan sesuatu isu. Hasil kajian akan menuju kepada solusi-solusi yang dicadangkan kepada pemerintah. Tidaklah mahasiswa turun ke jalan selagi jalan diplomasi belum digunakan. Hal ini kerana, gerakan BEMSI dalam mengetuai mahasiswa Indonesia seluruhnya berasaskan moraliti dan intelektualiti.

Namun begitu, media negara tersebut dikuasai orang berkepentingan yang mana mereka tidak merasakan usaha-usaha diplomasi sebagai satu isu panas yang boleh dipasarkan. Apa yang ditayangkan adalah demonstrasi semata.

Saudari Azida turut bangkit ingin tahu gerakan mahasiswi Indonesia supaya dapat mengamal praktif gerakan mahasiswi Malaysia.

Akhir sekali, majlis ini diakhiri dengan jamuan dan kunjungan BEMSI ke pejabat PMUKM.


BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI

Mohon Perhatian Mahasiswa Tahun Akhir FST

Seperti yang sedia maklum, mahasiswa tahun akhir FST pada tahun ini telah diperkenalkan program Latihan Industri (LI) yang bakal bermula pada 2 Mei 2011 nanti. LI ini merupakan projek terakhir yang membolehkan seseorang mahasiswa itu bergraduasi yang dijangka bermula pada 24 September 2011.

Sehubungan dengan itu, mahasiswa tahun akhir FST telah memohon penempatan LI di syarikat-syarikat swasta mahupun kerajaan di seluruh Malaysia sejak semester lalu. Saya juga tidak ketinggalan dan memilih untuk ke National Hydraulic Research Institute (NAHRIM) di Seri Kembangan dan menolak tawaran Jabatan Mineralogi dan Geosains (JMG) Selangor di Shah Alam. Selain urusan permohonan penempatan, info terbaru dari Encik M. Zaili M. Nor selaku Penyelaras :LI FST yang memerlukan perhatian rakan-rakan fakulti iaitu:

  • Dapatkan salinan polisi insurans di Bahagian Kewangan Pelajar dari Cik Hidayah A. Wahab (salinan surat tawaran LI perlu disertakan bersama).
  • Prof Mohamad Deraman (Ketua HEJIM) akan mengeluarkan surat memohon pelepasan LI bagi mahasiswa yang terlibat dengan SUKSIS/PALAPES. Namun begitu, tempoh 2 minggu tersebut perlu diganti bagi melengkapkan syarat LI.
  • Format laporan LI & buku log pernah diemelkan sebelum ini.
Selamat menempuh alam pekerjaan buat rakan-rakan mahasiswa!

BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI

Sunday 17 April 2011

Sahabat itu kekayaan

Alhamdulillah, syukur padaNya kerana dikurniakan sahabat-sahabat yang saling mengingatkan. Syukur kerana masih diberi peluang untuk merasai nikmatnya ukhuwwah - bonded by aqidah

dari barisan usrah dan dari umbi tarbiah
muncullah sinaran fikrah islah terus meniti masa
dari dewan selesa ke jalanan yang berhaba
pejuang keadilan dan penjulang kebenaran

bersama islam membina ummah
usaha daulatkan syariah agar hidup penuh barakah
di dalam sedih dan ketawa di dalam susah dan mewah
tetap teguh iman dan taqwa

sehati sejiwa dulu kini selamanya
walau apa yang melanda hadapi bersama
Ya Allah Ya Rabbi teguhkan iman kami
moga tabah hati tak berbelah bagi

berbekalkan islam membina masyarakat
membentuk umat insan sejagat
setiap mehnah pastinya ada hikmah
berbaik sangka pada yang Esa

Rasulullah contoh ikutan
prinsip syura jadikan amalan
korban masa tenaga kita
dan fikiran perkasakan maruah kita..

 Saudara Ikram, Ezuan dan Mohd.

 Roslina & Muslimah ^_^

 Usrah geologi tahun 2

Usrah geologi tahun 3

Si bulat & Si Lonjong? ^_^

 siswi mantap pasti tersentap~
 
Tahun akhir paling mencabar. Ditambah pula dengan amanah yang terpikul. Saya bertanggungjawab ke atas apa yang saya katakan dan kerana itu, langkah merealisasikan telah dibuat. Usaha diteruskan dengan mesyuarat bersama pihak Bendahari dalam masa terdekat. Teringat kata seorang sahabat "Usaha milik kita, keputusan milik Allah".

Kepastian hakikat yang ditemui, bahawa sahabat adalah kekayaan sebenarnya. Hilang satu, miskinlah sudah. Bertambah satu, semakin beruntunglah. Terima kasih untuk semua sahabat, Anda adalah kekayaan saya sebenarnya. 

Saya tidak berniat mengatakan sahabat itu mendahului pergantungan kita pada Allah."Berhenti berharap kepada makhluk Tuhan lalu bergantung harap sepenuhnya kepada Allah SWT"

p/s: gambar-gambar ini baru memaparkan sebahagian sahaja sahabat saya. Ada ramai lagi. Alhamdulillah..

Friday 15 April 2011

Penulisan Ilmiah - Satu Cabang Intelektual


Mahasiswa sering dikaitkan sebagai golongan intelektual. Golongan yang segar pemikirannya dan jentera otaknya sentiasa mampu berfikir secara kritikal. Hal ini kerana, mahasiswa merupakan golongan berilmu dan mampu berfikir merentas segenap sudut perkara. 

Pentafsiran keilmuan dan intelektualnya mahasiswa adalah menerusi buah penanya yang mampu menggambarkan tahap pemikiran. Penulisan ilmiah tidaklah setakat mencakupi bidang berkait dengan kursus pengajian saja tapi boleh merangkumi apa jua perkara berkaitan negara, ekonomi melalui sejauh mana pembacaan dan kajian.'Standard' mahasiswa sepatutnya mampu menulis untuk melahirkan ide-ide atau penerangan kepada masyarakat.

Majalah UKM pada kali ini menggalakkan mahasiswa UKM menghantar penulisan ilmiah untuk perkongsian bersama. Sesuai dengan 'title' mahasiswa, tidaklah terhad kepada karya bersifat seni malah mampu kepada penulisan ilmiah.

Suka untuk saya kongsikan penulisan yang dihasilkan sebelum ini. Sekadar berkongsi, & masih lagi perlu dibaiki : Kaitan Geologi Dengan Al-Quran, Telaga Zam-zam : Akuifer Terbaik Dunia, dan Aplikasi Media Untuk Islam.

BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI

Sunday 10 April 2011

Sumbang Karya Anda!


Sidang Redaksi kini membuka ruang kepada pencinta seni untuk berkarya. Saya menggalakkan rakan-rakan untuk menyumbangkan karya seni anda buat tatapan, renungan seluruh masyarakat kampus. Hantarkan karya kalian ke redaksikarya@gmail.com sebelum 20 Jun 2011. Saguhati disediakan bagi mereka yang karyanya terpilih untuk diabadikan dalam majalah ini. Menulis, melukislah dari hati, dengan hati bertemakan KISAH UKM, KISAH KAMI !

BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI

Tuesday 5 April 2011

MPP UNIKL-MPP UKM

Delegasi MPP UniKL kampus Perak disambut baik oleh barisan MPP UKM yang diketuai oleh Saudara Muzzammil pada 31 Mac lalu. Komunikasi dua hala berlaku apabila kedua-dua barisan pimpinan ini saling membuahkan kata menyusun bicara berkongsi situasi di kampus masing-masing. Rupanya MPP UniKL adalah yang pertama menang pertandingan MPP secara pilihanraya. Pemilihan MPP sesi-sesi sebelum mereka telah dilantik terus oleh pentadbiran.


Perkongsian berkisar soal portfolio, keintelektualan, program-program dan sebagainya. Sebelum tiba di UKM, mereka telah pun berkunjung ke UPM bagi sesi bersama MPP di sana.

Semoga MPP UniKL terus melangkah setanding dengan MPP-MPP IPTA!


 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grants For Single Moms